Ahad, 1 September 2019 | 5:23pm
Ketua Komander, Min Aung Hlaing.
Ketua Komander, Min Aung Hlaing.

Mahkamah tentera bicara kes askar terbabit keganasan

YANGON: Tentera Myanmar akan membicarakan anggotanya di mahkamah tentera susulan penemuan terbaharu dalam siasatan mengenai kekejaman di Rakhine, yang menyebabkan lebih 730,000 penduduk Islam Rohingya melarikan diri pada 2017.

Semalam, Ketua Komander, Min Aung Hlaing, dalam laman webnya berkata anggota mahkamah tentera yang mengunjungi negeri di utara itu mendapati, terdapat kelemahan di pihak tentera untuk mengikut arahan dalam beberapa, di kampung yang didakwa lokasi pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Pada 2018, agensi berita Associated Press melaporkan kewujudan sekurang-kurangnya lima kubur Rohingya di kampung Gutarpyin, di bandar Buthidaung.

Namun, kerajaan berkata, ketika itu terdapat 19 pengganas maut dan mayat mereka dikebumikan dengan berhati-hati.

Namun, hari ini, jurucakap tentera, Tun Tun Nyi, memberitahu hasil siasatan itu adalah sulit.

“Kami tiada hak untuk mengetahui mengenainya.

“Mereka akan menyiarkan kenyataan lain mengenai perkara ini apabila prosedur selesai,” katanya.

Mahkamah tentera yang dianggotai seorang pegawai berpangkat Mejar Jeneral dan dua kolonel dibentuk Mac lalu, bagi menyiasat tuduhan PBB, Amnesty International serta Human Rights Watch mengenai pembunuhan beramai-ramai, rogol dan kebakaran yang sengaja dilakukan oleh tentera Myanmar.

Mereka sudah melawat Rakhine sebanyak dua kali, iaitu pada Julai dan Ogos lalu.

Tentera Myanmar melancarkan serangan di Rakhine sebagai tindak balas terhadap serangan oleh pemberontak Rohingya ke atas pos keselamatan berhampiran sempadan Bangladesh.

Tahun lalu, misi PBB berkata, kempen tentera dilakukan dengan hasrat melakukan pembunuhan besar-besaran dan mencadangkan supaya Min Aung Hlaing serta lima jeneral lagi didakwa dengan jenayah paling teruk mengikut undang-undang antarabangsa. - Reuters

Berita Harian X