Khamis, 22 Ogos 2019 | 7:15am
Sebahagian bungkusan kokain yang ditemui di dalam perut warga Kenya, Glenn Chibasellow Ooko selepas ditahan di Bangkok, baru-baru ini. Foto AFP
Sebahagian bungkusan kokain yang ditemui di dalam perut warga Kenya, Glenn Chibasellow Ooko selepas ditahan di Bangkok, baru-baru ini. Foto AFP

Warga Kenya telan 68 bungkusan kokain ditahan di Bangkok

BANGKOK: Seorang lelaki warga Kenya ditahan di lapangan terbang di sini, selepas didapati cuba menyeludup lebih 60 bungkusan kokain yang ditemui di dalam perutnya.

Pihak berkuasa berkata, Glenn Chibasellow Ooko, 43, tiba dari Ethiopia pada Isnin lalu, sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini.

Hasil pemeriksaan x-ray oleh Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) berjaya mengesan puluhan bungkusan di dalam perutnya, yang kemudiannya disahkan mengandungi kokain.

“Beliau menelan kokain seberat 1.2 kilogram yang disimpan dalam 68 bungkusan,” kata ONCB dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, polis berkata, Ooko ditahan bersama seorang warga Nigeria, Osita Joseph Ukpa yang disyaki mengupah warga Kenya itu untuk menyeludup dadah terbabit.

“Ia adalah sebahagian daripada rangkaian dadah di Thailand,” kata kenyataan itu. - AFP

Berita Harian X