Selasa, 6 Ogos 2019 | 3:53pm
Serangan berlaku ketika kemarahan memuncak sejak penahanan seorang suspek pemisah dari Selatan Thailand majoriti Islam, yang ditemui dalam keadaan koma di sebuah kem tentera di mana kumpulan hak asasi mendakwa berlaku penderaan. -Foto Agensi
Serangan berlaku ketika kemarahan memuncak sejak penahanan seorang suspek pemisah dari Selatan Thailand majoriti Islam, yang ditemui dalam keadaan koma di sebuah kem tentera di mana kumpulan hak asasi mendakwa berlaku penderaan. -Foto Agensi

Thailand kaitkan serangan bom Bangkok dengan pemisah Selatan

BANGKOK: Siri letupan bom kecil yang menggegarkan ibu kota Thailand ketika negara itu menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ASEAN minggu lalu dikaitkan dengan pemisah selatan, kata Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan hari ini, ketika polis memburu lebih banyak suspek susulan tangkapan dua lelaki.

Ada sekurang-kurangnya sembilan letupan bom atau cubaan meletupkan peranti itu Jumaat lalu yang menyebabkan empat orang cedera ketika bandar ini menganjurkan diplomat atasan termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dan Menteri Luar China, Wang Yi.

Serangan berlaku ketika kemarahan memuncak sejak penahanan seorang suspek pemisah dari Selatan Thailand majoriti Islam, yang ditemui dalam keadaan koma di sebuah kem tentera di mana kumpulan hak asasi mendakwa berlaku penderaan.

Satu siasatan awal diketuai tentera berkata, Abdulloh Esormusor, 34, mungkin dilemaskan.

Prawit memberitahu media, letupan bom minggu lalu ‘dikaitkan dengan kumpulan pemisah selatan.’

“Kami sudah menyiasat bagaimana mereka melakukan perjalanan, dari mana mereka memperoleh bom,” katanya.

Bekas pemimpin junta yang juga Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha berkata, ada sembilan suspek masih bebas.

“Satu siasatan masih diteruskan untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya. Dua lelaki dari wilayah selatan ditahan minggu lalu beberapa jam selepas wayar dan bebola keluli ditemui dalam satu peranti tidak aktif di luar ibu pejabat polis di sini. -AFP

Berita Harian X