Sabtu, 3 Ogos 2019 | 12:01am

Penduduk di kawasan Banten Indonesia diminta jauhi pantai

JAKARTA: Penduduk di Pandeglang, Banten, Jawa Barat diarah menjauhi kawasan pantai berikutan berlakunya kejadian gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika Indonesia (BMKG), beberapa kawasan di Banten dikhuatiri berlakunya tsunami setinggi lebih 3 meter.

Kota Jakarta hari ini turut bergegar dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter yang berlaku di Banten, kira-kira 120 kilometer (km) dari sini, petang ini.

Gempa bumi jam 7.03 petang, berpusat di 147km barat daya Sumur-Banten itu turut menggegarkan kota Jakarta yang terletak kira-kira 120km dari Banten.

Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia dalam satu kenyataan turut meminta rakyat Malaysia yang berada di kawasan itu, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular diminta menghubungi talian +62215224947 atau +6281380813036,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Berita Harian X