Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:40pm
Kerajaan Kemboja memaklumkan, pegawai kedutaan AS boleh berkemas dan pulang jika tidak suka berada di negara itu susulan kritikan kemenangan parti Hun Sen dalam pilihan raya 2018. -Foto Agensi
Kerajaan Kemboja memaklumkan, pegawai kedutaan AS boleh berkemas dan pulang jika tidak suka berada di negara itu susulan kritikan kemenangan parti Hun Sen dalam pilihan raya 2018. -Foto Agensi

Kakitangan kedutaan AS boleh 'kemas dan pulang' - Kemboja

PHNOM PENH: Pihak berkuasa kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kemboja boleh pulang ke negara asal jika mereka tidak suka berada di negara itu, kata seorang jurucakap kerajaan hari ini susulan kritikan diplomat negara Uncle Sam bahawa pilihan raya pada 2018 tidak telus.

Parti Rakyat Kemboja (CCP) diketuai Perdana Menteri Hun Sen menang kesemua 125 kerusi Parlimen dalam pilihan raya tahun lalu dikatakan kumpulan hak asasi tidak bebas atau adil susulan pembubaran parti pembangkang utamanya.

Dalam tulisan Facebook kelmarin genap setahun selepas undian, Kedutaan AS di sini berkata, pilihan raya itu ‘gagal mewakili hasrat rakyat Kemboja.’

Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, pegawai AS seharusnya tidak membuat ‘komen kejam’ seperti itu.

“Walaupun kita adalah rakan, jika pegawai ini tidak sukakan Kemboja, mereka seharusnya berkemas dan pulang.

“Biar saya jelaskan di sini: Kami tidak mengalu-alukan anda,” kata Siphan dalam sidang media hari ini.

Siphan berkata, beliau merujuk tulisan Twitter bulan lalu oleh Presiden AS Donald Trump yang memberitahu empat anggota Kongres minoriti Demokrat supaya ‘pulang semula’ ke ‘tempat dipenuhi jenayah dari mana asal mereka.’

“Kami mempunyai hak sama rata bercakap seperti Presiden Donald Trump. Ia mudah. Jika anda tidak suka berada di sini, sila keluar,” kata Siphan.

Seorang jurucakap kedutaan AS enggan mengulas. -Reuters

Berita Harian X