Selasa, 30 Julai 2019 | 7:13pm
PIHAK berkuasa Vietnam berjaya merampas 30 ekor tenggiling hidup yang diseludup dari Laos. - Foto AFP

Vietnam rampas 30 tenggiling hidup

HANOI: Pihak berkuasa Vietnam berjaya merampas 30 ekor tenggiling hidup yang diseludup dari Laos dan disembunyikan dalam sebuah bas di tengah Vietnam, semalam.

Polis berkata, haiwan terbabit ditemui dalam kotak yang diletakkan dalam sebuah bas di wilayah Ha Tinh, dekat sini.

Katanya, pihaknya menahan seorang pemandu dan isterinya kerana disyaki menyeludup haiwan itu dari Laos.

Jurucakap pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Save Wildlife, Truong Van Truong berkata, empat ekor tenggiling ditemui mati sementara yang lain dalam keadaan teruk.

“Kebanyakan haiwan itu sudah mengalami dehidrasi dan lemah kerana disimpan serta diikat dalam karung dalam tempoh terlalu lama,” katanya memberitahu AFP.

Tambahnya, tenggiling itu akan dirawat sehingga pulih sebelum dilepaskan ke habitat liar.

Di Vietnam, daging tenggiling dianggap makanan mahal dan sukar dijumpai serta kadang kala haiwan itu digunakan untuk tujuan perubatan tradisional bagi merawat alahan dan lemah tenaga batin. -AFP

Berita Harian X