Isnin, 15 Julai 2019 | 1:10pm
Penduduk berlindung di pusat perlindungan sementara susulan gempa bumi kuat magnitud 7.3 di Ternate, Maluku Utara, semalam. -Foto EPA
Penduduk berlindung di pusat perlindungan sementara susulan gempa bumi kuat magnitud 7.3 di Ternate, Maluku Utara, semalam. -Foto EPA

Seorang maut, ribuan dipindahkan susulan gempa di Maluku

JAKARTA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala ratusan lain dipindahkan selepas gempa bumi kuat magnitud 7.3 melanda kepulauan terpencil Maluku di timur Indonesia semalam, kata pihak berkuasa.

Gempa bumi cetek berlaku sejauh 165 kilometer di selatan-barat daya bandar Ternate di wilayah Maluku Utara jam 6.28 petang waktu tempatan, menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Di daerah Halmahera Selatan, kawasan terhampir dengan pusat gempa, kira-kira 160 rumah runtuh apabila gempa cetek itu berlaku. Seorang wanita disahkan maut dalam bencana terbabit.

“Mangsa ditimpa runtuhan apabila rumahnya runtuh,” kata pegawai agensi pencegahan bencana tempatan, Ikhsan Subur kepada AFP hari ini, menambah tiada kematian lain dilaporkan.

Ribuan penduduk masih berlindung di beberapa sekolah, bangunan kerajaan serta tempat tinggi.

“Gegaran susulan masih berlaku dengan kerap, justeru penduduk masih trauma dan tidak berani pulang ke rumah,” kata Ikhsan.

Agensi Meteorologi, Kaji Cuaca dan Geofizik berkata, sehingga pagi ini, sekurang-kurangnya 52 gempa susulan direkodkan selepas gegaran awal.

Pegawai kerajaan tempatan mula mengagihkan logistik dan makanan untuk penduduk.

Wilayah Maluku Utara juga digegarkan dengan gempa magnitud 6.9 minggu lalu namun tiada kerosakan besar atau kematian dilaporkan. -AFP

Penduduk melarikan diri ke tempat selamat susulan gempa bumi di Ternate, Maluku Utara, semalam. -Foto Reuters
Penduduk melarikan diri ke tempat selamat susulan gempa bumi di Ternate, Maluku Utara, semalam. -Foto Reuters

Berita Harian X