Isnin, 20 Mei 2019 | 5:08pm
Mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap Felix Dorfin (kiri) kerana menyeludup dadah. - Foto AFP

Mahkamah Indonesia hukum mati pengedar dadah Perancis

MATARAM: Mahkamah Indonesia hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang rakyat Perancis, Felix Dorfin kerana menyeludup dadah.

Dorfin, 35, ditahan pada September tahun lepas kerana membawa sebuah beg bimbit yang mengandungi tiga kilogram dadah termasuk pil estacy dan amphetamine di lapangan terbang di Lombok.

Indonesia mempunyai beberapa undang-undang berkaitan dadah paling ketat di dunia termasuk skuad penembak yang melaksanakan hukuman mati.

Walaupun pendakwa raya tidak memohon hukuman mati, mahkamah Indonesia sudah pun diketahui akan berbuat demikian.

“Selepas mendapati Felix Dorfin didapati bersalah mengimport dadah...dia dijatuhkan hukuman mati,” kata ketua hakim, Isnurul Syamsul Arif memberitahu mahkamah.

Beliau memetik pembabitan Dorfin dalam sindiket penyeludupan antarabangsa dan jumlah dadah dimilikinya sebagai faktor yang memburukkan lagi keadaan.

Lelaki Perancis itu pernah menjadi tajuk utama di media tempatan selepas melarikan diri dari pusat tahanan polis dan bebas selama dua minggu sebelum dia berjaya ditahan semula.

Seorang pegawai polis wanita ditahan kerana didakwa membantu Dorfin melepaskan diri dari penjara dipercayai menerima rasuah. - AFP

Berita Harian X