Isnin, 18 March 2019 | 8:37pm
Bangkai paus ditarik ke dalam bot oleh aktivis Filipina. - Foto newsbeezer.com
Bangkai paus ditarik ke dalam bot oleh aktivis Filipina. - Foto newsbeezer.com

Paus telan 40 kg plastik mati di Filipina

MANILA: Paus kelaparan dengan 40 kilogram plastik di dalam perutnya mati selepas dihanyutkan ke pantai di Filipina, kata aktivis hari ini, menyifatkan ia antara kes keracunan paling buruk pernah dilihat mereka.

Kumpulan alam sekitar melabelkan Filipina sebagai antara pencemar lautan terbesar dunia disebabkan kebergantungan kepada penggunaan plastik.

Pencemaran seperti itu, yang juga berlaku meluaskan di negara Asia Tenggara lain, membunuh kehidupan liar seperti paus dan penyu yang memakan sisa buangan.

Dalam kes terbaru, paus Cauvier’s Beaked mati kelmarin di wilayah Lembah Compostela di selatan Filipina selepas terkandas sehari sebelum itu, kata biro perikanan wilayah.

Agensi itu dan kumpulan alam sekitar membuat bedah siasat ke atas haiwan berkenaan dan menemui 40 kilogram plastik, termasuk beg barang dan karung beras di dalam perutnya.

Ia mati akibat kebuluran dan tidak boleh makan kerana sampah sudah memenuhi perutnya, kata Pengarah Muzium D’Bone Collector, Darrell Blatchley, yang membantu melakukan pemeriksaan.

“Ini amat menjijikkan dan menyedihkan. Kami melakukan pembedahan ke atas 61 ikan lumba-lumba dan paus sejak 10 tahun lalu dan ini antara jumlah plastik terbesar yang kami lihat,” katanya.

Paus sepanjang 4.7 meter itu terkandas di bandar Mabini Jumaat lalu dan cuba dilepaskan oleh pegawai dan nelayan, tetapi ia berpatah balik ke perairan cetek. — AFP

Berita Harian X