Selasa, 5 March 2019 | 11:32pm
Dorfin (tengah), diiringi ke mahkamah di Mataram, Nusa Tenggara Barat semalam. -Foto AFP

Suspek dadah warga Perancis berdepan hukuman mati

MATARAM: Seorang lelaki Perancis berdepan hukuman mati di Indonesia selepas ditangkap menggunakan beg bimbit untuk menyeludup dadah ke negara Asia Tenggara itu, kata seorang pegawai semalam.

Pendakwa raya menuduh Felix Dorfin menyeludup empat kilogram kokain, ecstasy dan amphetamine.

Tertuduh berusia 35 tahun dari Benthune di utara Perancis ditahan selepas tiba di lapangan terbang Lombok dari Singapura, September lalu.

“Kami mendakwanya kerana memiliki dadah, membawa dadah ke Indonesia dari luar negara dan menyeludup dadah,” kata ketua pendakwa raya Ginung Pratidina kepada mahkamah menambah tertuduh berpotensi dihukum mati jika disabitkan.

Lelaki Perancis itu lari dari penjara akhir Januari lalu dengan menggergaji pagar besi pada tingkap di tingkat dua penjara dan turun menggunakan kain sarung.

Dia menghabiskan dua minggu diburu sebelum ditangkap semula dalam hutan di Lombok Utara. Polis berkata, Dorfin cuba merasuah pegawai untuk membenarkannya bolos.

Seorang pegawai polis wanita ditahan kerana didakwa membantu Dorfin lari dari penjara dengan bayaran Rp14.5 juta (RM4,076.64). -AFP

Berita Harian X