Selasa, 26 Februari 2019 | 9:49am
Pegawai Vietnam menyambut kedatangan Jong-un di stesen Dong Dang dengan permaidani merah termasuk pertunjukan hormat serta mengibarkan bendera Korea Utara dan negara itu. -Foto Reuters

Jong-un, Pompeo tiba di Hanoi

HANOI: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tiba di Vietnam hari ini menaiki kereta api untuk pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di mana mereka cuba mencapai perjanjian menghentikan program senjata nuklear Pyongyang.

Trump dijangka tiba di sini petang nanti. Presiden AS itu bakal mengadakan pertemuan empat mata dengan Jong-un petang Rabu (esok), diikuti makan malam yang ditemani dua tetamu dan seorang penterjemah, kata jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders kepada media yang menaiki pesawat Air Force One.

Sanders berkata, ia diikuti lebih banyak pertemuan antara kedua-dua pemimpin Khamis. Rundingan kedua antara kedua-dua pemimpin diadakan lapan bulan selepas pertemuan pertama di Singapura Jun tahun lalu.

Walaupun tiada jangkaan sebenar pertemuan keduanya akan membawa perjanjian muktamad isu senjata nuklear Korea Utara yang mengancam AS, ada sedikit harapan ia mungkin menjurus kepada pengisytiharan bahawa Perang Korea 1950-53 berakhir secara rasmi.

Namun AS menjangka perkembangan ketara Jong-un terhadap gencatan senjata sebagai balasan.

Jong-un tiba dari Pyongyang menaiki kereta api yang berhenti di stesen Dong Dang, bandar Vietnam bersempadan dengan China, kata saksi Reuters.

Ketibaan Jong-un di stesen kereta api Dong Dang, bandar bersempadan China, sebelum pertemuannya dengan Trump esok. -Foto Reuters

Pegawai Vietnam menyambut kedatangan beliau di stesen dengan permaidani merah termasuk pertunjukan hormat serta mengibarkan bendera Korea Utara dan negara itu.

Jong-un berlepas dari Dong Dang ke Hanoi sejauh 170 kilometer menaiki kereta. Kedua-dua Jong-un dan Trump dijangka mengadakan rundingan berasingan dengan pemimpin Vietnam.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo juga tiba di Hanoi hari ini. -Reuters

Pompeo mengumumkan dasar sekatan visa AS terhadap individu yang bertanggungjawab secara langsung untuk mana-mana siasatan ICC ke atas kakitangan negara itu berkaitan Afghanistan atau sekutunya termasuk Israel. -Foto AFP

Berita Harian X