Ahad, 17 Februari 2019 | 10:29pm
FOTO hiasan.

Polis Vietnam rampas 300 kilogram methamphetamine

HANOI: Hampir 300 kilogram pil methamphetamine dirampas di tengah Vietnam hari ini, rampasan kedua terbesar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata polis.

Walaupun Vietnam antara negara yang mengamalkan undang-undang dadah paling ketat di dunia, ia tetap menjadi persinggahan pengangkutan popular dan destinasi untuk memasarkan dadah yang diseludup melalui ‘Segi Tiga Emas’ Laos, Myanmar dan Thailand.

Menurut laporan, rampasan terbaru itu berlaku di wilayah Ha Tinh apabila polis, pasukan pertahanan sempadan dan kastam menemui dadah di dalam sebuah van dengan nombor pendaftaran Laos awal hari ini kira-kira jam 1 pagi.

Seorang suspek warga Laos ditahan ketika serbuan itu, kata polis.

“Akibat cuaca gelap, bentuk muka bumi yang berbahaya dan kabus tebal seorang lagi suspek lelaki berjaya melarikan diri,” kata laporan itu.

Oktober tahun lalu, polis menemui 309 kilogram methamphitamine bernilai AS$3 juta (RM12.2 juta) selepas menahan sebuah trak di wilayah Quang Binh.

Vietnam yang ditadbir komunis mengamalkan hukuman paling keras di dunia membabitkan kesalahan mengedar dadah.

Suspek yang ditangkap dengan lebih daripada 600 gram heroin boleh dihukum mati. -AFP

Berita Harian X