Sabtu, 2 Februari 2019 | 1:45pm
Felix Dorfin (tengah) dikawal pegawai keselamatan, berjaya ditangkap semula selepas melarikan diri dari penjara di Mataram, Lombok. - Foto AFP

Suspek dadah Perancis lari dari penjara ditahan semula

MATARAM: Seorang suspek pengedar dadah warga Perancis yang melarikan diri dari sebuah penjara di sini dua minggu lalu berjaya ditangkap semula, kata polis hari ini.

Felix Dorfin yang berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan ditemui sedang bersembunyi di sebuah hutan di Lombok Utara pada malam Jumaat dan sudah dihantar semula ke penjara Mataram, kata polis.

Dorfin yang ditemui dalam keadaan lemah dan letih pada mulanya cuba merasuah pegawai polis untuk melepaskannya.

“Dia tidak melawan, tetapi cuba merasuah pegawai kami,” kata ketua polis utara Lombok, Herman Suriyono.

Lelaki Perancis berusia 35 tahun itu ditahan September lalu selepas didakwa membawa sebuah beg pakaian palsu yang mengandungi empat kilogram dadah termasuk kokain, ecstasy dan amphetamines di lapangan terbang di pulau Mataram.

Semalam, seorang pegawai polis wanita di Indonesia ditahan selepas dipercayai menerima rasuah bagi membantu seorang suspek dadah warga negara Perancis untuk melarikan diri dari penjara.

Pegawai terbabit yang juga ketua keselamatan banduan di pusat tahanan pulau Lombok dipercayai menerima rasuah sebanyak AS$1,000 (RM4,089) bagi membantu Felix Dorfin melarikan diri dari penjara sejak dua minggu lalu. - AFP

Berita Harian X