Jumaat, 1 Februari 2019 | 5:25pm
Felix Dorfin. - Foto AFP

Pegawai polis wanita ditahan bantu banduan lepas diri

LOMBOK: Seorang pegawai polis wanita di Indonesia ditahan selepas dipercayai menerima rasuah bagi membantu seorang suspek dadah warga negara Perancis untuk melarikan diri dari penjara, kata polis hari ini tatkala usaha mencari banduan itu sedang diteruskan.

Polis berkata, seorang pegawai terbabit yang juga ketua keselamatan banduan di pusat tahanan pulau Lombok dipercayai menerima rasuah sebanyak AS$1,000 (RM4,089) bagi membantu Felix Dorfin melarikan diri dari penjara sejak dua minggu lalu.

Lelaki Perancis berusia 35 tahun ditahan polis pada September lalu kerana membawa beg pakaian yang mengandungi empat kilogram dadah termasuk kokain, pil ecstasy dan amfetamin di lapangan terbang di sebuah pulau percutian menuju ke Bali.

Difahamkan Dorfin sedang menunggu perbicaraan yang berkemungkinan dihukum mati kerana disabitkan kesalahannya itu.

Indonesia antara beberapa negara di dunia yang mempunyai undang-undang ketat berkaitan dengan dadah termasuk pelaksanaan hukuman mati oleh skuad penembak.

Polis berkata, pegawai yang dituduh itu hanya kenali sebagai ‘TM’ dilaporkan menerima bayaran secara pindahan wang sejumlah 14.5 juta rupiah (RM4,252) daripada ibu-bapa Dorfin sebelum dia melarikan diri.

Tambahnya, dia menggunakan wang pindahan itu bagi membeli sebuah telefon bimbit dengan kad sim selain membeli selimut yang mungkin digunakan Dorfin untuk melarikan diri. -AFP.

Berita Harian X