Sabtu, 26 Januari 2019 | 11:45am
Yanghee Lee ketika ditemu bual wartawan Reuters di Bangkok, Thailand pada 18 Januari lalu. Foto Reuters
Yanghee Lee ketika ditemu bual wartawan Reuters di Bangkok, Thailand pada 18 Januari lalu. Foto Reuters

PBB desak ketua tentera Myanmar didakwa

BANGKOK/DHAKA: Ketua tentera Myanmar mesti didakwa atas kejadian pembunuhan beramai-ramai etnik minoriti Islam Rohingya, dan ia perlu dilakukan sebelum pelarian yang meninggalkan negara itu, kembali ke tanah air mereka.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia di Myanmar, Yanghee Lee berkata demikian dalam lawatannya ke Thailand dan Bangladesh.

Ketika lawatan itu, beliau bertemu pihak berkuasa dan etnik Rohingya yang meninggalkan Rakhine susulan serangan tentera Myanmar pada 2017.

“Min Aung Hlaing dan pihak lain perlu bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai di Rakhine dan jenayah kemanusiaan serta jenayah perang yang berlaku di kawasan lain di Myanmar,” kata Yanghee yang dikenakan sekatan masuk ke Myanmar.

Ia adalah kenyataan pertama Yanghee yang dibuat secara terbuka untuk meminta ketua tentera Myanmar itu didakwa atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai.

Dalam siasatan yang dijalankan oleh PBB di Myanmar tahun lalu, badan dunia itu mendapati anggota tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai, selain merogol etnik terbabit dalam serangan di kawasan penempatan mereka.

Maklumat itu diperoleh hasil temu bual dengan pelarian terbabit, dan siasatan itu juga mencadangkan supaya Min Aung Hlaing serta lima lagi jeneral tentera didakwa, kerana melakukan jenayah paling berat mengikut undang-undang antarabangsa.

Sejak Ogos 2017, kira-kira 730,000 etnik Rohingya dilapor meninggalkan Rakhine menuju ke Bangladesh dan mereka kini tinggal di beberapa kem di kawasan sempadan.

“Bagi membolehkan program penghantaran pulang dilaksanakan, dalang jenayah perlu didakwa kerana jika tidak ia akan memburukkan lagi keadaan, atau kejadian mengerikan itu akan berlaku semula di Myanmar.

“Dan kemudian, kita akan menyaksikan semula kitaran rakyat diusir dalam kediaman mereka,” kata Yanghee dalam satu temu bual dengan Reuters di Thailand pada 18 Januari lalu.

Sementara itu, jurucakap tentera dan Kerajaan Myanmar gagal dihubungi untuk maklum balas berhubung kenyataan berkenaan.

Sebelum ini, Myanmar menyangkal segala tuduhan yang dibuat oleh pelarian terhadap pasukan tentera dan mendakwa operasi dijalankan secara sah bagi menangani pengganas. - Reuters

Berita Harian X