Isnin, 21 Januari 2019 | 9:34pm
FELIX Dorfin (kanan) yang dituduh menyeludup dadah. - Foto AFP

Guna gergaji, kain sarung lari dari penjara

MATARAM: Polis Indonesia melancarkan gerakan memburu suspek Perancis yang melarikan diri dari penjara dengan menggergaji jeriji tingkap di tingkat dua dan turun menggunakan kain sarung.

Tindakan berani Felix Dorfin yang dituduh menyeludup dadah berlaku petang Ahad lalu di pusat tahanan polis di Lombok, lokasi suspek berusia 35 tahun itu menantikan perbicaraan dalam kes yang boleh membawa hukuman mati itu.

“Dia melarikan diri menerusi tingkap di tingkat dua pusat tahanan itu, dan menggunakan sarung dan langsir yang diikat, dia menuruni tembok dan melarikan diri,” kata jurucakap polis Nusa Tenggara Barat, I Komang Suartana.

Polis percaya Dorfin masih berada di Lombok dan melancarkan gerakan memburu di seluruh pulau itu.

Dorfin ditahan September lalu kerana didakwa membawa bagasi berisi empat kilogram dadah termasuk kokain, ecstasy dan amphetamine, di lapangan terbang ke pulau peranginan itu.

Indonesia menghukum mati beberapa penyeludup dadah asing pada masa lalu termasuk warga Australia, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran, yang menjadi ketua rangkaian penyeludupan heroin, Bali Nine. — AFP

Berita Harian X