Jumaat, 30 November 2018 | 12:09pm
Pegawai polis menahan semula banduan yang cuba melarikan diri dari penjara di Banda Aceh malam tadi. -AFP

Indonesia buru 90 banduan bolos

BANDA ACEH: Rusuhan di sebuah penjara di barat Indonesia menyebabkan 90 banduan lari selepas memecahkan pagar ketika berkumpul untuk bersolat, kata seorang pegawai hari ini.

Banduan terbabit lari dari penjara di sini malam semalam, walaupun sesetengahnya berjaya ditangkap.

“Ada 726 banduan ketika itu, 113 daripadanya lari. Kami berjaya menangkap 23 daripadanya namun masih memburu banduan terlepas,” kata jurucakap Kementerian Kehakiman Ade Kusmanto.


Tingkap pecah dilihat di sebuah penjara yang rosak selepas dibolosi banduan di Banda Aceh malam semalam. -Foto AFP

Tahanan terbabit berada di luar sel untuk solat jemaah di negara majoriti Islam itu, namun sesetengah mengambil kesempatan situasi itu dengan memecahkan pagar penjara menggunakan batang besi, kata Ade.

Polis melancarkan pemburuan besar-besaran tahanan bolos dan mengetatkan kawalan di penjara terbabit. Sepuluh pegawai ditugaskan mengawasi penjara apabila banduan bolos.

Lari dari penjara bukan pemandangan luar biasa di Indonesia di mana banduan sering ditahan dalam keadaan daif di pusat tahanan terlebih sesak.

Mei tahun lalu, lebih 400 banduan bolos selepas solat jemaah di sebuah penjara sesak di wilayah Riau.

Sebulan kemudian, puluhan banduan berenang dari sebuah penjara banjir di pulau Sumatera selepas satu daripada dindingnya runtuh. -AFP


Anggota polis berkawal di luar penjara di Banda Aceh selepas rusuhan menyebabkan 90 tahanan bolos kini diburu. -Foto AFP

Berita Harian X