Khamis, 8 November 2018 | 2:14pm
Pelawat dari 21 negara termasuk China, Taiwan, India dan Arab Saudi dikecualikan bayaran visa selama dua bulan antara Disember dan Januari. -Agensi

Thailand beri pengecualian yuran visa 2 bulan

BANGKOK: Kabinet Thailand kelmarin meluluskan langkah mengecualikan yuran dua bulan dibayar pelawat untuk mendapatkan visa ketika tiba, dalam cubaan melonjakkan industri lumayan yang terjejas berikutan penurunan pelancong China, pasaran terbesarnya.

Yuran sebanyak 2,000 baht (RM255.04) akan dikecualikan antara 1 Disember dan 31 Januari untuk pelawat dari 21 negara termasuk China, Taiwan, India dan Arab Saudi, kata jurucakap kerajaan, Puttiphong Punnakan kepada media.

Katanya, langkah itu dijangka meningkatkan jumlah pelancong kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh itu.

September lalu, ketibaan keseluruhan pelancong meningkat hanya 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun ketibaan dari China menurun hampir 15 peratus susulan nahas bot Julai lalu, mengorbankan 47 pelancong negara itu, menjadikannya bencana terburuk dikaitkan pelancong di Thailand sejak beberapa tahun lalu.

Tahun lalu, pelawat China mencatat hampir satu pertiga daripada ketibaan rekod 35.38 juta di Thailand. -Reuters

Berita Harian X