Jumaat, 5 Oktober 2018 | 11:38am
ANGGOTA tentera menurunkan kit kecemasan untuk mangsa gempa dan tsunami di Lapangan Terbang Mutiara Al Jufri, di Palu, Sulawesi. - Foto EPA

Kelab peminat K-pop Indonesia kumpul dana Palu-Donggala

JAKARTA: Lebih 20 kelab peminat K-pop di Indonesia mengumpulkan dana melalui platform atas talian kitabisa.com untuk membantu mangsa gempa dan tsunami di Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah.

Inisiatif yang dipanggil “K-Pop Fandom Peduli Gempa Donggala & Palu Sulawesi Tengah” dimuat naik oleh pengendalinya, Kartikawati Halim sebagai sebahagian daripada usaha kutipan dana yang dianjurkan oleh badan amal kemanusiaan Aksi Cepat Tanggap (ACT Indonesia).

Antara kelab peminat yang menyertai inisiatif itu termasuk Melody Indonesia, Mamamoo Indonesia, NCTunnel, Dreamcatcher7 Indonesia, YGstan INA, Hello SHINee, VICTON Neworld, AstroID, HILIGHT, GG INA, Infinite Inspirit, This Is Golden Child, BY1GOT7, EXO-L Yehet ~, Seventeen World, Forwannable ID, Kardnesia, Day6, IU Indonesia, The Boyz Indonesia dan Global Army.

Inisiatif yang menyasarkan kutipan Rp 5 juta (RM1,365) itu dibuka selama tujuh hari dan kini berjaya mengumpulkan Rp 1.8 juta (RM491.7).

Semua sumbangan akan diserahkan kepada ACT Indonesia, sebelum disalurkan ke kawasan yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami.

Kelab peminat K-pop Indonesia sebelum ini pernah memulakan inisiatif mengutip dana bagi membantu mangsa gempa di Lombok, Nusa Tenggara Barat. Dana yang dikumpulkan pada ketika itu mencecah Rp 16.64 juta (RM4,544) melebihi sasaran Rp 10 juta (RM2,731). - Agensi

Berita Harian X