Khamis, 6 September 2018 | 4:22pm
PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP
PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto AFP

Hun Sen mula penggal baharu

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memulakan penggal baharu hari ini, selepas kejayaan partinya mempertahankan 125 kerusi tanpa bertanding yang mendapat kritikan hebat masyarakat antarabangsa.

Pemimpin berusia 66 tahun itu bakal mempengerusikan era baharu pemerintahan parti sehala selepas pilihan raya pada Julai lalu. Ia mendapat kritikan demokrasi Barat yang menganggap ia tidak adil kerana menyerahkan pemerintahan kepada 125 kerusi parti pimpinannya.

Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP), satu-satunya pembangkang dibubarkan dengan mereka yang menentang kerajaan dan aktivis turut ditahan.

Parlimen bersidang hari ini untuk memilih Hun Sen sebagai perdana menteri, mempertahankan pemerintahannya selama 33 tahun ke atas negara itu untuk tempoh lima tahun lagi.

Semua 125 ahli parlimen mengundi dengan mengangkat tangan untuk mengesahkan kerajaan baharu pimpinan Hun Sen, termasuk menteri dari penggal sebelumnya.

“Hari ini adalah hari penting dalam sejarah kerajaan Kemboja,” kata Hun Sen kepada Parlimen.

Kerajaan AS mengatakan pilihan raya ini tidak bebas dan adil kerana ia gagal mewakili suara rakyat Kemboja.

Bagaimanapun, Hun Sen menegaskan pilihan raya itu ‘bebas, adil dan telus’. Pada penggal baharu, beliau berjanji untuk menaik taraf perkhidmatan awam, ekonomi dan meningkatkan gaji pekerja serta penjawat awam. - AFP

Berita Harian X