Isnin, 20 Ogos 2018 | 2:24pm
10 terkorban dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau peranginan Lombok semalam. - Foto AFP
10 terkorban dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau peranginan Lombok semalam. - Foto AFP

10 maut dalam gempa terbaru di Lombok

MATARAM: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan pulau peranginan Lombok semalam, kata pihak berkuasa.

Ia susulan gegaran terbaru dalam siri gempa bumi yang sudah meragut ratusan nyawa dan memaksa ribuan itu melarikan diri dari rumah mereka sejak beberapa minggu lalu.

Hampir 500 terbunuh dalam gempa bumi dan gegaran susulan sejak 29 Julai lalu di seluruh pantai utara pulau itu, yang terletak di timur Bali.

Jurucakap agensi bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho, berkata usaha bantuan dan pembinaan semula dipertingkatkan.

“Pembinaan semula kemudahan awam seperti hospital dan sekolah dipercepatkan,” katanya.

Katanya, lebih 100 gegaran susulan direkodkan sejak gempa bumi berukuran 6.9 malam semalam, yang menyebabkan penduduk berlari ke jalan raya.

Gangguan elektrik dan talian komunikasi turut terganggu di seluruh pulau berkenaan.

Gegaran susulan berukuran antara 4.0 dan 5.0 magnitud berterusan pagi ini dan akses ke beberapa kawasan terputus akibat tanah runtuh disebabkan gempa bumi itu, kata pegawai di Mataram.

Gempa bumi semalam berlaku tepat dua minggu selepas gegaran berukuran 6.9 magnitud yang meragut 460 nyawa dan mencetuskan usaha mencari, menyelamat dan bantuan besar-besaran. — Reuters

Berita Harian X