Khamis, 16 Ogos 2018 | 7:30am
PARTI pimpinan Perdana Menteri Hun Sen menyapu bersih semua kerusi parlimen pada pilihan raya tanpa penyertaan pihak pembangkang. - Foto AFP
PARTI pimpinan Perdana Menteri Hun Sen menyapu bersih semua kerusi parlimen pada pilihan raya tanpa penyertaan pihak pembangkang. - Foto AFP

Parti Hun Sen sapu bersih kerusi parlimen Kemboja

PHNOM PENH : Parti pimpinan Perdana Menteri Hun Sen menyapu bersih semua kerusi parlimen pada pilihan raya tanpa penyertaan pihak pembangkang, sekali gus menubuhkan kerajaan satu parti yang kesahihannya boleh dipersoalkan di peringkat dunia.

Pemimpin Kemboja itu sudah menguasai tampuk pemerintahan selama 33 tahun namun undi pada bulan lalu dikritik hebat sebagai palsu selepas kejatuhan Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dibubarkan Mahkamah Agung November lalu.

Jurucakap Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan berkata, keputusan rasmi yang diumumkan menyaksikan Parti Rakyat Kemboja (CPP) memenangi kesemua 125 kerusi dan mendapat hampir 77 peratus undi.

Dalam satu kenyataan di Facebook lewat malam tadi, Hun Sen berkata pilihan raya itu adalah ‘bebas, adil dan saksama’.

Kerajaan baru Kemboja akan dibentuk secara rasmi bulan depan namun masalah kewibawaan dilihat boleh melanda rejim terbabit kerana pakar percaya Hun Sen akan cuba mengukuhkan sokongan akar umbi.

“Ia satu keadaan yang amat sukar,” kata penganalisis politik bebas, Meas Ny.

“Bermula sekarang, kerajaan baru akan sentiasa menjadi kritikan dan perlu mempertahankan diri mereka,” katanya.

Keputusan pilihan raya itu selari dengan ramalan awal sebelum ini dan Hun Sen ketika menyampaikan ucapannya berkata, beliau akan menerima semua cadangan dari parti bertanding berhubung ‘membina semula negara’. - AFP

Berita Harian X