Isnin, 6 Ogos 2018 | 9:18pm
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Hun Sen sanggup mati jika terbukti menipu

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sanggup mempertaruhkan nyawa untuk membuktikan kesahihan keputusan pilihan raya negara itu bulan lalu, demi menolak dakwaan pemalsuan yang mendapat kritikan meluas.

Parti Rakyat Kemboja pimpinan Hun Sen mendakwa memenangi semua 125 kerusi parlimen dalam pilihan raya mencurigakan pada 29 Julai lalu, mengukuhkan kedudukan parti sehala negara itu dan menyambung cengkaman kuasa 33 tahun.

Beberapa tokoh pembangkang meminta agar pilihan raya itu dipulau susulan pembubaran parti pembangkang, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) dibubarkan tahun lalu dalam tindakan keras yang menyaksikan pemimpinnya dituduh sebagai pengkhianat.

Jumlah pengundi keluar seramai 82 peratus, membuatkan Hun Sen bertindak menghentikan kempen untuk mengelak kegagalan dalam pengundian. Tetapi pemerhati tidak mengambil bahagian dan kumpulan hak asasi mendedahkan berlaku ugutan terhadap pengundi.

Ketika berucap kepada atlit di Phnom Penh, Hun Sen, 66, menolak berlakunya penipuan undi. Beliau mencabar pemimpin pembangkang untuk menyertainya dan bersumpah atas nyawa mereka berhubung dakwaan itu.

“Saya bersumpah mati dalam apa juga keadaan...mati dalam kemalangan kereta, pesawat, kejutan elektrik, dipanah petir, apa-apa saja yang boleh menyebabkan kematian. Adakah anda berani bersumpah atau tidak?” katanya.

Katanya, mereka yang menuduh angka itu tidak benar, diminta agar bersumpah mati bersama.

Kira-kira 6.9 undi terbabit dalam pilihan raya kebangsaan lalu tetapi hampir 600,000 undi rosak dan pembangkang menyifatkan ia adalah satu tindakan berpura-pura dan penipuan. - AFP

Berita Harian X