MANILA: Tentera Filipina berkata hari ini, ia menahan seorang ulama Islam yang tahu mengenai serangan bom mengorbankan 11 orang di pulau Basilan dalam serangan awal minggu ini yang menimbulkan ketakutan terhadap pembabitan Daesh.
Bertindak atas maklumat, renjer pengintip menyerbu rumah Indalin Jainul atau Ustaz Abdulgani, 12 jam selepas pengeboman di bandar Lamitan Selasa lalu.
Pemberi maklumat memaklumkan tentera, ulama berusia 58 tahun itu tahu bom akan meletup dan membantu militan asing sampai ke Basilan dari Malaysia, menurut jurucakap tentera Gerry Besana. Sebutir bom ditemui di rumahnya.
Jainul didakwa atas tuduhan pembunuhan pelbagai dan pemilikan haram bahan letupan. Keluarganya membantah dalam apa yang dikatakan dakwaan palsu.
Daesh mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang mengorbankan lima militia, seorang askar dan empat orang awam termasuk seorang kanak-kanak, menggelarnya operasi syahid.
Pemandu van yang membawa peranti itu juga maut. Dia dipercayai meletupkan bom apabila disoal di pusat pemeriksaan. -Reuters