Khamis, 2 Ogos 2018 | 8:26pm
Menteri Luar Iran, Javad Zarif (belakang kiri) melihat Menteri Luar Negeri Singapura, Vivian Balakrishnan (kanan) menyerahkan dokumen kepada Setiausaha Agung ASEAN, Lim Jock Hoi (tengah) semasa majlis menandatangani perjanjian pada Persatuan Bangsa-bangsa Asia Tenggara ke-51 (ASEAN) Mesyuarat Menteri di Singapura, hari ini. - Foto AFP

China mahu latihan ketenteraan dengan ASEAN, tolak AS

SINGAPURA: China mahu mengadakan latihan ketenteraan dan penerokaan tenaga dengan negara Asia Tenggara di perairan bertelingkah, menurut satu draf dokumen, namun menegaskan negara luar dikecualikan dalam apa dikatakan penganalisis cubaan mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat (AS).

Cadangan Beijing itu adalah sebahagian usaha memperluaskan pengaruhnya di Laut China Selatan, dituntut hampir keseluruhan dan menolak Washington kerana menyokong negara dengan tuntutan bertindih di perairan itu.

Satu kod tatacara antara Beijing dan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mengawal tingkah laku di laut strageik itu sudah berlarutan selama bertahun.

Draf dokumen dilihat AFP, menggariskan kedudukan tawaran berbeza negara anggota ketika mereka berusaha mencapai satu persetujuan dan penganalisis berkata, ia menunjukkan beberapa kemajuan awal.

Dalam teks itu, Vietnam menawarkan bantahan paling lantang terhadap aktiviti Beijing, menggesa negara itu berhenti membina pulau buatan serta mendirikan infrastruktur tentera.

Namun ada sedikit tanda tentangan serius dari negara anggota lain, memberi isyarat bagaimana tentangan terhadap perluasan agresif China di perairan kaya sumber itu sudah reda sejak beberapa tahun lalu di Asia Tenggara.

Dalam satu mesyuarat Menteri Luar di sini semalam, Beijing dan ASEAN mengumumkan, mereka bersetuju terhadap teks rundingan kod berkenaan.

Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menyifatkan draf berkenaan satu 'pencapaian besar.'

"Kod tatacara itu bermaksud memastikan perdamaian, kestabilan dan keyakinan diperkukuh supaya kita boleh terus membuat kemajuan bersama antara ASEAN dan China sambil mengambil masa menyelesaikan pertelingkahan wilayah," katanya semalam.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk mengatakan bila rundingan akan selesai.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam mempunyai tuntutan bertindih dengan China di Laut China Selatan. -AFP

Berita Harian X