Khamis, 2 Ogos 2018 | 5:18pm
MENTERI Luar Singapura, Vivian Balakrishnan bercakap semasa sesi pleno Mesyuarat Menteri Luar Negeri ke-51 di Singapura. - Foto REUTERS

ASEAN tanda tangan perjanjian siber dengan Russia

SINGAPURA/MANILA: Negara Asia Tenggara berharap untuk menandatangani perjanjian keselamatan siber dengan Russia tidak lama lagi, selepas siri godaman profil tinggi di rantau itu, menurut satu draf dokumen dilihat hari ini.

Draf dokumen dilihat Reuters membincangkan untuk merunding satu perjanjian dengan Russia. Ia dijangka dikeluarkan Menteri Luar 10 negara Persatuan Asia Tenggara (ASEAN) dalam mesyuarat tertutup bersama pembuat dasar global di Singapura.

Kenyataan juga menunjukkan, satu draf pertama sudah dipersetujui dalam rundingan kod tatacara berkenaan Laut China Selatan bertelingkah dan mengulangi komitmen ASEAN terhadap pakatan dagangan bercita-cita tinggi disokong China.

"Kami mengalu-alukan pengukuhan lanjut kerjasama kami dalam keselamatan siber bersama Russia menerusi pengeluaran kenyataan ASEAN dan Menteri Luar Russia berkaitan kerjasama dalam bidang keselamatan siber," kata draf dokumen itu.

Kenyataan itu dijangka diterbitkan esok dan tajuknya akan dikemas kini bergantung kepada rundingan, katanya.

Singapura, hos mesyuarat ASEAN, mengalami serangan siber terburuk apabila penggodam mencuri maklumat peribadi kira-kira 1.5 juta penduduk termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong daripada pangkalan data kesihatan kerajaan Julai lalu.

Terdahulu, Malaysia awal tahun ini berkata, ia menggagalkan satu cubaan rompakan siber di bank pusatnya.

Tiada satu pun negara itu mengenal pasti penggodam dan tidak mengaitkan sebarang pembabitan Russia, yang melantik seorang duta ke ASEAN berpusat di Jakarta tahun lalu.

Agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) berkata, satu sayap propaganda Russia cuba mengganggu pilihan raya presiden 2016 dengan menghantar tulisan dan membeli iklan dalam Facebook. Moscow menafikan sebarang pembabitan mereka.

Facebook berkata kelmarin, ia mengenal pasti satu kempen pengaruh politik terancang baharu untuk mengelirukan pengguna dan mencetuskan perselisihan di kalangan pengundi sebelum pilihan raya Kongres AS November ini.

Kenyataan itu juga merujuk kepada draf pertama bagi memulakan rundingan kod tatacara di Laut China Selatan di mana China dan negara Asia Tenggara mempunyai tuntutan bertindih.

Katanya, draf itu dicapai dalam satu mesyuarat di tengah China di Changsha Jun lalu. Draf itu akan menjadi asas perbincangan selanjutnya selepas versi akhir dicapai. -Reuters

Berita Harian X