Selasa, 31 Julai 2018 | 6:59pm
SEBUTIR bom meletup dalam sebuah van, mengorbankan 11 orang di pusat pemeriksaan tentera di selatan bergolak Filipina. - Foto EPA
SEBUTIR bom meletup dalam sebuah van, mengorbankan 11 orang di pusat pemeriksaan tentera di selatan bergolak Filipina. - Foto EPA

11 maut, van meletup di pos tentera Basilan

MANILA: Sebutir bom meletup dalam sebuah van, mengorbankan 11 orang di pusat pemeriksaan tentera di selatan bergolak Filipina hari ini dalam serangan dipersalahkan pihak berkuasa ke atas militan dikaitkan Daesh.

Jurucakap tentera berkata, seorang pengebom disyaki, anggota tentera, lima anggota separa tentera dan empat orang awam termasuk ibu dan anak, terbunuh manakala tujuh lain cedera.

Letupan berlaku di pulau Basilan sejurus selepas tentera menahan kenderaan itu dan bercakap dengan pemandu yang bersendirian dalam van serta kemungkinan meletupkan bom, kata tentera.

Basilan adalah kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf, terkenal menculik dan mengambil tebusan serta menempatkan bekas 'emir' Daesh di Asia Tenggara yang dibunuh tentera Filipina tahun lalu selepas pemburuan lebih 15 tahun.

Pengeboman menggunakan kenderaan jarang dilakukan di Filipina walaupun berdekad keganasan pemisah dan pengeboman yang memecah belahkan rantau Mindanao serta menarik pelampau asing.

Seorang askar diwawancara radio DZMM berkata, pemandu bercakap dialek pelik dan mungkin rakyat asing.

Bagaimanapun, jurucakap tentera Kolonel Edgard Arevalo berkata, pasukan keselamatan sedang menyiasat dan tiada asas untuk merumuskan insiden itu pengeboman bunuh diri atau dilakukan rakyat asing.

Katanya, perisikan memberi petunjuk ada rancangan militan membangunkan bom buatan dan menyasar pangkalan tentera. - Reuters

Berita Harian X