Isnin, 30 Julai 2018 | 4:29pm
KEADAAN van yang terbabit dalam kemalangan di Quang Nam. - Foto Reuters

14 sekeluarga ke majlis perkahwinan maut

HANOI: Seramai 14 sekeluarga termasuk pengantin lelaki maut dalam nahas di tengah Vietnam hari ini ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan apabila van dinaiki mereka dilanggar sebuah trak kontena, kata polis.

Seorang pegawai polis berkata, mangsa dalam kemalangan di Quang Nam itu adalah anggota besar sebuah keluarga termasuk pengantin lelaki yang menuju ke rumah pengantin perempuan di wilayah berhampiran.

Van 16 tempat duduk dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah trak kontena sekitar jam 2.30 pagi, mengorbankan 13 orang serta merta manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

"Semua mayat mangsa dibawa pulang untuk majlis pengebumian. Kami merawat sesetengah mangsa yang cedera di hospital tempatan," kata pegawai polis yang enggan dikenali.

Pihak berkuasa berkata, mereka sedang menyiasat punca nahas itu. Kira-kira 8,200 orang maut dalam nahas jalan raya di seluruh Vietnam tahun lalu, menurun daripada sejumlah 8,600 orang tahun sebelumnya. Majoriti maut dalam nahas motosikal. -AFP

Berita Harian X