Ahad, 29 Julai 2018 | 10:05am
Rakyat Kemboja keluar mengundi hari ini. - Foto AFP
Rakyat Kemboja keluar mengundi hari ini. - Foto AFP

Rakyat Kemboja mengundi hari ini

PHNOM PENH: Rakyat Kemboja keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya kontroversi yang dilihat bakal menyebelahi pemimpinnya, Hun Sen selepas satu-satunya parti pembangkang utama negara itu diharamkan tahun lalu.

Ia sekali gus menjadikan Kemboja sebagai negara satu parti.

Dijangkakan lebih 8 juta pengundi berdaftar akan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-6 negara itu sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mula menaja pilihan raya pada 1993, selepas negara itu bebas dari peperangan.

"Semua pusat mengundi mula dibuka tepat jam 7 pagi," kata seorang jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan kepada AFP.

Perdana Menteri Hun Sen, 65 yang mula dilantik sejak 1985 adalah bekas komander Khmer Rouge yang berpaling tadah daripada rejim kejam pimpinan Pol Pot.

Parti pimpinannya, Parti Rakyat Kemboja (CPP) memenangi setiap pilihan raya sejak 1998, sekali gus menunjukkan penguasaan Hun Sen sejak 33 tahun lalu.

Penganalisis memantau secara dekat jumlah pengundi yang disifatkan lebih kepada pungutan suara terhadap populariti Hun Sen selepas membubarkan Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dituduh merancang menjatuhkan kerajaan.

Pemimpin Kemboja berdepan kritikan antarabangsa kerana membantu menyusun pentadbiran yang sebenarnya adalah negara satu parti.

Namun setakat ini kerajaan-kerajaan barat hanya mengenakan sekatan perjalanan dan kewangan terhad ke atas Kemboja. - AFP

Berita Harian X