Jumaat, 27 Julai 2018 | 7:17pm
HUN Sen melambai ke arah penyokongnya ketika berkempen di Phnom Penh, hari ini. - Foto Reuters
HUN Sen melambai ke arah penyokongnya ketika berkempen di Phnom Penh, hari ini. - Foto Reuters

Puluhan ribu sokong Hun Sen

PHNOM PENH: Puluhan ribu penyokong Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, berhimpun di ibu kota negara itu pada hari terakhir kempen pilihan raya esok, yang menyaksikan beliau hampir tidak berhadapan pencabar untuk melanjutkan tempoh pentadbirannya selama 33 tahun.

Pilihan raya itu adalah yang keenam di Kemboja sejak bangkit daripada peperangan selama beberapa dekad pada 1993 dan pengkritik Hun Sen menyifatkan ia satu penipuan selepas pengharaman parti pembangkang utama dan tindakan ke atas media bebas dan pembangkang.

"Saya tidak akan mengetuai parti untuk kalah," katanya kepada penyokong hari ini, ketika mereka mengibarkan bendera biru parti pimpinannya, Parti Rakyat Kemboja (CPP).

Kumpulan muzik menyanyikan lagu memuji Hun Sen, yang paling lama berkhidmat di dunia, bekas komander Khmer Rouge yang berpaling tadah daripada rejim kejam pimpinan Pol Pot itu.

Pilihan raya itu dikritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Barat sebagai pincang selepas Mahkamah Agung, tahun lalu membubarkan parti pembangkang, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) berhubung tuduhan merancang menjatuhkan kerajaan.

Pemimpinnya, Kem Sokha, dipenjarakan kerana khianat.

Parti, yang kalah tipis pada pilihan raya 2013, menafikan tuduhan berkenaan dan kebanyakan pemimpin CNRP melarikan diri ke luar negara, menyebabkan tiada pencabar kuat kepada parti Hun Sen. - Reuters

Berita Harian X