Isnin, 23 Julai 2018 | 4:01pm
JURUCAKAP Majlis Menteri Kemboja, Phay Siphan.
JURUCAKAP Majlis Menteri Kemboja, Phay Siphan.

'Malaysia tak boleh campur tangan hal ehwal Kemboja'

PHNOM PENH: Jurucakap Majlis Menteri Kemboja, Phay Siphan, menolak komen seorang ahli Parlimen Malaysia yang menyatakan kebimbangan mengenai pilihan raya umum Kemboja pada 29 Julai ini.

"Malaysia negara kecil, ia tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal Kemboja," katanya ketika membalas komen ahli Parlimen dari PKR, Wong Chen, lapor akhbar Phnom Penh Post, semalam.

Wong Chen menggesa Kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih proaktif berhubung Kemboja.

"Kerajaan Kemboja tidak peduli dengan (pandangan) Chen," kata Siphan sambil menekankan bahawa ahli Parlimen itu bukan wakil ASEAN.

"[Malaysia] bukan Amerika Syarikat atau Perancis, ia hanya sebuah negara kecil."

Chen berkata: "Saya menggesa kerajaan Malaysia mengambil pendirian lebih proaktif mengenai Kemboja seperti juga pendirian kita ke atas kerajaan Myanmar di bawah pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Saya percaya, sebagai kerajaan baru, adalah tugas kita melakukan reformasi terhadap undang-undang pilihan raya sendiri bagi melindungi keadilan dan memperjuang demokrasi malah pergi lebih jauh dengan mempromosi pilihan raya bebas dan adil di rantau ASEAN."

Siphan turut membalas: "Dia hanya ahli Parlimen Malaysia. Malaysia adalah anggota penuh ASEAN yang tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negara anggotanya."

Menjelang pilihan raya Kemboja tidak lama lagi, masyarakat antarabangsa menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan demokrasi negara itu.

Ketika China dan Jepun terus memberi dana kepada Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) menarik balik pemberian dana, lapor akhbar itu. - Agensi

Berita Harian X