Sabtu, 21 Julai 2018 | 6:14pm
TAUFAN Son Tinh, ribut tropika ketiga membadai Vietnam sejak awal tahun ini. - Foto Reuters

10 maut Vietnam dilanda banjir

HANOI: Sekurang-kurangnya 10 maut selepas banjir akibat hujan lebat yang dibawa Taufan Son Tinh melanda tengah dan utara Vietnam.

Negara itu terdedah kepada musim ribut dan banjir, yang kerap meragut ratusan nyawa setiap tahun.

Taufan Son Tinh, ribut tropika ketiga membadai Vietnam sejak awal tahun ini, mendarat malam Rabu lalu, merosakkan infrastruktur dan tanaman di seluruh wilayah Thanh Hoa dan Nghe An.

Hujan lebat berlanjutan menjelang kedatangan taufan, menyebabkan banjir dan tanah runtuh di negara itu, termasuk Hanoi.

Menurut laporan atas talian terbaru dikeluarkan pejabat bencana, sekurang-kurangnya 10 disahkan terbunuh dan 11 lagi hilang di kawasan pergunungan di Yen Bai dan Thanh Hoa.

Kira-kira 4,000 rumah rosak dan puluhan ribu hektar tanaman musnah, kata pejabat itu, memberi amaran hujan lebat akan berterusan.

Media menyiarkan imej banjir di kawasan pedalaman yang menyaksikan penduduk kampung menggunakan bot untuk bergerak.

Beberapa komuniti masih terperangkap, menurut laporan. - AFP

Berita Harian X