Sabtu, 2 Jun 2018 | 11:10am
SETIAUSAHA Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis. - Foto Reuters

AS tuduh China ugut, takutkan negara jiran

SINGAPURA: Pertambahan struktur ketenteraan China di Laut China Selatan selain mengatur kedudukan sistem senjata yang semakin canggih di wilayah yang dipertikaikan seolah direka untuk mengugut dan menakut-nakutkan negara jiran, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis, hari ini.

Bercakap pada sidang kemuncak keselamatan berprofil tinggi di Singapura, ketua Pentagon itu juga berkata tentera AS terus menyokong diplomat yang berusaha ke arah penamatan program nuklear di semenanjung Korea yang 'lengkap, dapat ditentusahkan dan tidak boleh ditarik balik'.

Mattis berkata Beijing telah mengatur kedudukan beberapa perkakasan ketenteraan termasuk peluru berpandu anti-kapal, peluru berpandu permukaan ke udara dan penyekat elektronik di pulau kecil yang dibina dan ciri-ciri maritim lain sebagai kemudahan tentera di seluruh Laut China Selatan.

Beijing juga telah mendaratkan pesawat pengebom di Pulau Woody di Kepulauan Paracel.

"Walaupun China mendakwa sebaliknya, penempatan sistem senjata ini secara langsung merujuk kepada penggunaan ketenteraan untuk tujuan mengugut dan menakut-nakutkan," kata Mattis pada sidang Dialog Shangri-La. - AFP

Berita Harian X