Selasa, 3 April 2018 | 1:11pm

Aktivis gesa empat pengamal LGBT dibebaskan

BANDA ACEH: Aktivis hak, hari ini menggesa pihak berkuasa Aceh membebaskan empat yang ditahan kerana disyaki mengamalkan homoseksual, di tengah kebimbangan berhubung penindasan ke atas golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu.

Indonesia mempunyai paling ramai umat Islam di dunia tetapi Aceh satu-satunya wilayah yang menjalankan hukuman Syariah, dan mengharamkan LGBT.

Parlimen Indonesia kini membahaskan semakan terhadap kanun jenayah negara itu yang mengharamkan semua seks di luar perkahwinan, termasuk seks sama jenis.

Ramai percaya undang-undang baru itu akan digunakan untuk mensasarkan komuniti LGBT dan minoriti lain secara tidak adil.

Pihak berkuasa berkata, empat suspek berkenaan ditahan sekumpulan penduduk dan polis, dan jika disabitkan, mereka berhadapan hukuman 100 sebatan di khalayak ramai.

"Kami melengkapkan fail dan akan menyerahkan ia kepada pendakwa tidak lama lagi," kata ketua siasatan polis Syariah di Banda Aceh, Marzuki.

Human Rights Watch berkata, hukuman itu boleh dianggap penderaan menurut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Pihak berkuasa Aceh perlu membebaskan mereka dan melindungi orang awam daripada pemerhati yang mensasarkan minoriti yang lemah," kata pengarah hak LGBT pertubuhan itu, Graeme Reid. - Reuters

Berita Harian X