Jumaat, 2 March 2018 | 1:09pm
PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto REUTERS
PERDANA Menteri Kemboja, Hun Sen. - Foto REUTERS

Hun Sen lantik anak jadi pemimpin kanan tentera

PHNOM PENH: Anak sulung Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen dilantik sebagai ketua kakitangan bersama Angkatan Bersenjata Kemboja.

Ia antara jawatan paling kanan di negara itu yang diisi salah seorang anggota keluarga Hun Sen bertujuan memperkukuhkan cengkamannya.

Jurucakap kementerian pertahanan Kemboja, Chhum Socheat berkata hari ini, Leftenan Jeneral Hun Manet, yang juga timbalan komander Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF), mengambil peranan sebagai ketua kakitangan bersama, menggantikan Jeneral Kun Kim yang sedang cuti sakit.

Januari lalu, Hun Sen melantik menantunya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara dan pada Disember, anak bongsunya dinaikkan pangkat sebagai kolonel di unit pengawal peribadi bapanya.

Kenaikan pangkat itu dibuat menjelang pilihan raya umum pada Julai yang disifatkan ramai akan berpihak kepada Hun Sen.

Beliau dijangka menang mudah selepas pembangkang utama Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) dibubarkan Mahkamah Agung November lalu atas permintaan kerajaannya.

Larangan ke atas pembangkang termasuk pengkritik dan beberapa media bebas itu mendorong Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan agensi lain mengutuk tindakan keras Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang dipimpin Hun Sen.

AS minggu ini berkata ia menggantung atau membatalkan beberapa program perbendaharaan, Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) dan program sokongan ketenteraan Kemboja, jabatan percukaian dan pihak berkuasa tempatan di Kemboja, yang semuanya dikatakan bertanggungjawab mencetus ketidakstabilan baru-baru ini.

Hun Sen yang meraikan sambutan ke-33 tahun pemerintahannya Januari lalu, sering berkata ingin kekal memimpin selama sekurang-kurangnya satu dekad lagi. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X