Selasa, 24 Oktober 2017 | 10:21pm
RAMAI penduduk di bandar raya Marawi sudah mula pulang ke rumah masing-masing selepas lima bulan berdepan tekanan akibat peperangan di antara tentera kerajaan Filipina dan militan dikaitkan dengan Daesh.- Foto AFP
RAMAI penduduk di bandar raya Marawi sudah mula pulang ke rumah masing-masing selepas lima bulan berdepan tekanan akibat peperangan di antara tentera kerajaan Filipina dan militan dikaitkan dengan Daesh.- Foto AFP

Tentera Filipina buru militan bersembunyi

MARAWI (Filipina): Ramai penduduk di bandar raya Marawi sudah mula pulang ke rumah masing-masing selepas lima bulan berdepan tekanan akibat peperangan di antara tentera kerajaan Filipina dan militan dikaitkan dengan Daesh.

Namun, bunyi tembakan masih kedengaran ketika tentera memeriksa kawasan kejiranan untuk mencari saki baki militan bagi memastikan zon itu sudah kembali selamat.

Hanya puluhan penduduk awam masih kelihatan pagi semalam di kawasan pinggir timur Marawi yang kebanyakannya sudah musnah dengan bunyi tembakan senjata dan letupan sesekali masih kedengaran.

Menurut Timbalan Komander Tentera di Marawi, Kolonel Romeo Brawner, bunyi seolah-olah dalam peperangan itu bukan lagi menunjukkan wujud pertempuran baharu.

Katanya, bunyi tembakan itu adalah daripada operasi tentera mencari militan yang masih bersembunyi selain meletupkan bom yang ditanam militan.

"Ada kemungkinan wujud baki militan. Dalam semua perang, ini adalah standard operasi biasa (SOP). Jika tentera terjumpa lubang atau terowong, mereka akan melepaskan tembakan sebelum memeriksa dengan lampu suluh," kata Brawner.

Di kawasan yang lebih terselamat daripada pertempuran, ratusan penduduk kelihatan mula pulang.

"Perasaan saya bercampur-campur, gembira kerana kami dibenarkan pulang dan sedih dengan apa yang berlaku dengan bandar saya," kata peniaga, Gonaranko Mapandi Junior, 46, ketika berada hampir di pos pemeriksaan tentera.

Sejumlah kecil kedai yang menjual barangan rumah dan makanan atau dikenali sebagai kedai 'sari-sari' dalam kalangan penduduk mula dibuka.

Namun, pihak berkuasa memaklumkan tentera belum memberikan pelepasan kepada semua penduduk untuk pulang kerana kebimbangan keselamatan. - AFP

Berita Harian X