SEATTLE: Syarikat aeroangkasa, Boeing merancang mengurangkan kira-kira 2,000 kakitangan Jabatan Kewangan dan Sumber Manusia syarikat itu tahun ini.
"Kami menjangkakan pengurangan sehingga kira-kira 2,000 kakitangan terutama yang bertugas di Jabatan Kewangan dan Sumber Manusia melalui gabungan pengurangan dan pemberhentian.
"Walaupun tiada siapa dimaklumkan mengenai pemberhentian, kami akan terus berkongsi maklumat secara telus untuk membolehkan orang ramai membuat perancangan," kata syarikat itu dalam kenyataan, semalam.
Syarikat yang baru-baru ini memindahkan ibu pejabatnya ke Arlington, Virginia, berkata pihaknya menjangkakan untuk 'meningkatkan dengan ketara' keseluruhan tenaga kerja pada tahun ini.
"Pada tahun lalu, Boeing menambah tenaga kerja sebanyak 15,000 tempat dan merancang mengambil 10,000 pekerja lagi tahun ini dengan tumpuan kepada kejuruteraan dan pembuatan," kata kenyataan itu.
Kata syarikat itu, sehingga 31 Disember lalu, jumlah tenaga kerja Boeing ialah seramai 156,000 orang.
Seattle Times melaporkan Boeing, yang sudah menjadi antara majikan swasta terbesar di Washington, merancang untuk menyumber luar kira-kira satu pertiga daripada jawatan yang dihapuskan kepada Tata Consulting Services di Bengaluru, India.
Pengarah Kanan Komunikasi, Mike Friedman memberitahu Times, jawatan lain akan dihapuskan apabila syarikat itu membuat pengurangan dalam kewangan dan perkhidmatan sokongan sumber manusia.
"Dari semasa ke semasa, beberapa fungsi korporat kami berkembang agak besar. Dan dengan pertumbuhan itu, ia akan menimbulkan kecenderungan birokrasi atau sistem yang berbeza yang tidak cekap. Jadi kami memperkemaskan," katanya.
The Times melaporkan kira-kira 1,500 daripada 5,800 jawatan kewangan syarikat akan dikurangkan, dengan sehingga 400 lagi pengurangan pekerjaan dalam sumber manusia, iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah kakitangan jabatan itu. - AP