WASHINGTON: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Sweden mengeluarkan amaran kepada rakyatnya di negara itu mengenai kemungkinan serangan balas terhadap insiden pembakaran al-Quran.
Amaran keselamatan di laman web kedutaan yang disiarkan Ahad lalu, memberi amaran berhubung kemungkinan serangan sebagai tindak balas kepada insiden di mana kitab suci orang Islam dibakar.
Seorang ahli politik antiimigresen Sweden membakar senaskhah al-Quran si Stockholm bulan lalu bagi membantah penentangan Turkiye terhadap usaha Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Kawasan perhimpunan seperti tempat ibadat boleh menjadi sasaran.
"Sila berhati-hati apabila berada di dalam dan di sekitar kemudahan diplomatik," katanya selain turut menasihatkan warga AS untuk mengelakkan kawasan orang ramai dan tidak terlalu menonjol.
AS bagaimanapun tidak mengemas kini nasihat perjalanannya ke Sweden, yang pada masa ini memaklumkan rakyatnya untuk berhati-hati di negara itu.
Protes di Stockholm mendapat kecaman hebat dari Turkiye, yang mengatakan Sweden tidak sepatutnya membenarkan tindakan "anti-Islam" dan menggantung proses perbincangan mengenai penyertaan NATO dengan Sweden dan Finland.
Kementerian Luar Sweden menasihatkan rakyatnya di Turkiye untuk mengelakkan kawasan orang ramai dan demonstrasi.
Kedutaan AS di Ankara, bersama-sama dengan misi negara Barat yang lain turut mengeluarkan amaran keselamatan berhubung kemungkinan serangan balas ke atas tempat ibadat, berikutan insiden di Sweden dan kejadian berasingan di mana al-Quran dibakar di Belanda dan Denmark.
Perkhidmatan keselamatan Sweden sedar akan amaran yang dikeluarkan AS dan jurucakapnya, Adam Samara meminta soalan dirujuk kepada pihak berkuasa negara itu.
Penilaian semasa perkhidmatan itu sendiri berhubung ancaman serangan "dipertingkatkan" ke tahap tiga dalam skala lima. - REUTERS