LIMA: Tanah runtuh di selatan Peru semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terkorban, 20 cedera dan dua lagi hilang.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa jumlah korban akibat bencana itu mungkin meningkat.
Menurut Pengarah Institut Pertahanan Awam Negara di wilayah Arequipa, jumlah orang yang mati setakat ini meningkat kepada 15 orang di mana lumpur dan gelongsor batu mula turun akibat hujan lebat.
Kawasan paling teruk terjejas adalah empat perkampungan di Nicolas Valcarcel.
Gabenor Arequipa, Rohel Sanchez memberitahu televisyen Canal N "keadaan di keempat-empat bandar ini benar-benar teruk".
Di kawasan bukit berhampiran perkampungan, pelombong sedang bekerja dan mungkin dihanyutkan.
Menurut Sanchez, di seluruh Arequipa kira-kira 12,000 orang mengalami kerosakan pada rumah mereka atau terjejas oleh bencana alam itu.
Pegawai di Arequipa meminta kerajaan di ibu negara Lima untuk mengisytiharkan darurat bagi wilayah itu. - AFP