Selasa, 7 Februari 2023 | 9:41am
Sebuah belon besar ditembak jatuh oleh tentera AS di atas Lautan Atlantik, tidak jauh dari pantai Carolina Selatan. - Foto AP
Sebuah belon besar ditembak jatuh oleh tentera AS di atas Lautan Atlantik, tidak jauh dari pantai Carolina Selatan. - Foto AP

AS terus cari serpihan belon, tidak akan pulangkan kepada China

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mencari serpihan daripada belon China yang jatuh di Atlantik untuk dianalisis pakar perisikan dan tidak merancang untuk menyerahkan kembali serpihan yang ditemukan kepada Beijing, kata pegawai.

China sebelum ini berkata, belon itu adalah pesawat pemerhati cuaca yang menyimpang, tanpa sebarang tujuan ketenteraan, namun AS menyifatkan ia adalah kenderaan pengintipan altitud tinggi yang canggih.

"Mereka menemukan sebahagian saki-baki di permukaan laut dan keadaan cuaca tidak membolehkan lebih banyak pemantauan bawah laut dilakukan di kawasan serpihan," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby, dua hari selepas jet pejuang AS menembak jatuh belon itu.

Kirby berkata, dalam "masa beberapa hari lagi, kakitangan AS akan dapat turun ke dasar laut untuk melihatnya secara dekat, namun ia baru bermula."

Sementara itu, Ketua Komando Utara AS, Jeneral Glen VanHerck, memberitahu pemberita, sebuah kapal Tentera Laut sedang dalam proses memetakan kawasan serpihan, yang dianggarkan berukuran kira-kira 1,500 X 1,500 meter.

Katanya, belon itu sendiri berukuran sehingga 200 kaki (60 meter) tinggi dan membawa muatan seberat beberapa ribu paun, iaitu kira-kira saiz sebuah pesawat jet serantau.

Selepas secara perlahan merentasi tengah AS dan dilaporkan melalui beberapa kawasan ketenteraan rahsia, belon itu menuju ke pantai timur, yang mana Presiden Joe Biden kemudian mengarahkan ia ditembak jatuh. - AFP

Berita Harian X