Isnin, 6 Februari 2023 | 9:36am
Tentera AS menembak jatuh objek didakwa sebagai ‘belon pengintip’ di luar pantai Carolina Selatan. - Foto AP
Tentera AS menembak jatuh objek didakwa sebagai ‘belon pengintip’ di luar pantai Carolina Selatan. - Foto AP

Republikan selar Biden ambil masa tembak jatuh belon China

WASHINGTON: Penggubal undang-undang Republikan mengutuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden kerana menunggu selama beberapa hari sebelum menembak jatuh sebuah belon disyaki bagi tujuan perisikan China, yang berlegar di ruang udara AS.

Mereka mendakwa Biden menunjukkan kelemahan terhadap China dan mulanya berusaha untuk memastikan pelanggaran ruang udara AS tidak didedahkan.

Sebuah pesawat pejuang tentera dara AS menembak jatuh belon itu kelmarin ketika ia terapung di luar pantai Carolina Selatan, selang seminggu selepas ia mencerobohi ruang udara AS berdekatan Alaska.

Insiden terbabit sekali gus mencetuskan peristiwa perisikan yang dramatik, yang menegangkan lagi hubungan Amerika-China.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin kelmarin berkata, tentera AS mampu mengumpul perisikan yang 'berharga' dengan mengkaji belon berkenaan.

Malah, beliau mendedahkan bahawa tiga belon pemantauan China lain juga pernah melintasi AS semasa pentadbiran Donald Trump.

Pendedahan terbabit dinafikan oleh mantan presiden dari parti Republikan itu.

"Kita sepatutnya menembak jatuh belon ini ketika ia berada di atas Kepulauan Aleutian. Kita tidak sepatutnya membenarkannya merentasi seluruh benua AS," tegas seorang anggota Jawatankuasa Khidmat Bersenjata Senat dari parti Republikan, Tom Cotton.

Cotton memberitahu program Fox News semalam bahawa beliau percaya Biden menunggu untuk mendedahkan insiden pencerobohan ruang udara AS itu kerana beliau tidak mahu ia menjejaskan lawatan diplomatik Setiausaha Negara, Antony Blinken ke Beijing yang dirancangkan, yang akhirnya ditangguhkan. - REUTERS

Berita Harian X