Isnin, 6 Februari 2023 | 8:36am
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di Puren, wilayah Araucania, Chile. - Foto AFP
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran di Puren, wilayah Araucania, Chile. - Foto AFP

Angka kematian kebakaran hutan Chile meningkat, ratusan kehilangan tempat tinggal

CONCEPCION: Kebakaran hutan akibat gelombang haba melampau melanda selatan tengah Chile, meragut 24 nyawa selain mencederakan 1,000 orang dan memusnahkan 800 kediaman dalam tempoh lima hari, kata pihak berkuasa semalam.

Angin kuat yang membuatkan api marak dan diburukkan lagi dengan suhu panas mencecah 40 darjah, membabitkan kawasan seluas 270,000 hektar dekat sebuah wilayah, yang terletak sekitar 500 kilometer (km) dari selatan ibu kota Santiago.

Angka kematian bertambah seorang lagi kelmarin, membabitkan seorang lelaki yang dirawat kerana mengalami kecederaan di hospital, kata pegawai Kementerian Dalam Negeri, Manual Monsalve.

Kematian turut membabitkan seorang anggota bomba termasuk dua kru sebuah helikopter yang terhempas Jumaat lalu.

Monsalve memaklumkan seramai 997 orang mengalami kecederaan berkaitan kebakaran, manakala 26 daripadanya dalam keadaan serius.

Lapan anggota bomba tergolong mangsa cedera.

Semalam, kawasan yang dikelilingi hutan diselubungi api marak, plot pertanian bertukar menjadi abu, haiwan mati dan penduduk kampung kehilangan segala-galanya dalam sekelip mata.

"Ia adalah neraka," kata seorang pekerja sosial, Maria Ines, 55 yang tinggal di Santa Juana dekat wilayah Biobio yang terjejas teruk selepas banyak rumah musnah dijilat api.

"Adakah satu keajaiban beberapa rumah terselamat tetapi kini kami takut kebakaran akan berlaku lagi... Di mana kami akan mencari perlindungan? Di mana? Bagaimana?," tambahnya.

Seorang petani, Miguel Angel Henriquez, 58, dari wilayah sama memberitahu AFP bahawa dia melihat jirannya berani memadamkan api dan cuba untuk menyelamatkan beberapa haiwan peliharaannya.

"Dia tidak keluar. Saya jerit kepadanya supaya keluar daripada kebakaran tetapi dia tidak mengendahkan," katanya.

Seorang wanita dari El Santo, Tome menceritakan banyak rumah di tempat tinggalnya musnah dijilat api.

"Orang ramai tidak berjaya menyelamatkan apa-apa. Mereka menyelamatkan diri dengan hanya apa yang mereka pakai kerana api marak dengan cepat," katanya. - AFP

Berita Harian X