Ahad, 5 Februari 2023 | 7:37pm
Tentera AS menembak jatuh objek didakwa sebagai ‘belon pengintip’ di luar pantai Carolina Selatan, semalam. - Foto Chad Fish via AP
Tentera AS menembak jatuh objek didakwa sebagai ‘belon pengintip’ di luar pantai Carolina Selatan, semalam. - Foto Chad Fish via AP

Colombia kesan objek 'serupa belon' di ruang udara

RIO DE JANEIRO: Ketika ketegangan kian memuncak antara Washington dengan Beijing berhubung insiden tembak jatuh objek yang didakwa pegawai Amerika Syarikat (AS) sebagai 'belon pengintip' China, Colombia pula melaporkan kehadiran objek dikatakan serupa di ruang udaranya.

Sistem pertahanan udara Colombia mengesan objek pada ketinggian kira-kira 17,000 meter yang memasuki ruang udara negara itu pada pagi Jumaat lalu, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik kenyataan Tentera Udara Colombia, semalam.

Objek itu dilaporkan bergerak pada kelajuan purata kira-kira 46 kilometer sejam dan memiliki 'ciri serupa belon.'

Tentera Udara Colombia mengesan objek itu melalui sistem pertahanan negara sehingga ia meninggalkan ruang udaranya.

Ia tidak menimbulkan 'ancaman kepada keselamatan dan pertahanan negara, mahupun keselamatan udara,' menurut tentera udara.

Pihaknya kini bekerjasama dengan negara lain untuk menentukan asal usul objek berkenaan.

Semalam, tentera AS menembak jatuh objek didakwa sebagai 'belon pengintip' China di luar pantai Carolina Selatan.

Bagaimanapun, Beijing mendakwa ia adalah belon penyelidikan awam yang menyimpang dari laluan asal.

Kelmarin, jurucakap Jabatan Pertahanan AS, Pat Ryder dilaporkan mendakwa belon kedua telah dikesan di Amerika Latin, tanpa memberikan butiran lanjut. – BERNAMA

Berita Harian X