Sabtu, 4 Februari 2023 | 12:03pm
PBB
PBB

Belon pengintip: PBB bimbang ketegangan antara China, AS

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mahu melihat ketegangan semakin memuncak antara China dan Amerika Syarikat (AS) susulan insiden belon pengintip yang disyaki milik China dikesan di ruang udara AS, lapor Agensi Anadolu.

"Kami bimbang apabila terdapat ketegangan yang memuncak antara China dan AS dan ini adalah perkara yang sering dirujuk oleh Setiausaha Agung dalam banyak ucapannya.

"Khusus mengenai insiden ini, jelas sekali kedua-dua pihak perlu mengatasinya. Tetapi memandangkan peranan kedua-dua negara sebagai peneraju kepemimpinan global, saya fikir adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk meredakan ketegangan," kata jurucakap Stephane Dujarric kepada pemberita.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menangguhkan lawatan ke China susulan insiden 'belon pengawasan' itu.

China mendakwa belon itu adalah 'kapal udara awam yang digunakan untuk penyelidikan'.

Tetapi Pentagon menolak dakwaan itu.

"Kami tahu belon itu menceroboh ruang udara AS dan undang-undang antarabangsa - dan tidak boleh diterima," kata jurucakap Pentagon Brig. Jeneral Pat Ryder. - BERNAMA

Berita Harian X