Khamis, 8 September 2022 | 1:13pm
Gambar hiasan. - Foto AP
Gambar hiasan. - Foto AP

10.5 juta kanak-kanak jadi yatim piatu angkara COVID-19

WASHINGTON: Lebih 10.5 juta kanak-kanak di seluruh dunia menjadi yatim piatu atau kehilangan penjaga, dengan lebih 7.5 juta hilang salah seorang atau kedua-dua ibu bapa akibat wabak COVID-19.

Menurut data kajian diterbitkan dalam jurnal JAMA Pediatrics, statistik berkenaan adalah jauh melebihi anggaran sebelum ini, ketika jumlah korban akibat coronavirus masih meningkat.

kadar kematian itu memberi kesan jangka panjang yang berpotensi memusnahkan masa depan kanak-kanak berkenaan.

Sebahagian besar mereka hilang kebergantungan, berdepan masalah penderaan, kesedihan traumatik, masalah kesihatan mental, kehamilan remaja, hilang peluang pendidikan dan penyakit kronik atau penyakit berjangkit.

"Walaupun berbilion dolar dilaburkan untuk mencegah kematian berkaitan COVID-19, hanya sedikit yang digunakan untuk membantu mangsa kanak-kanak," menurut laporan kajian itu.

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat (AS) dan Peru dilapor menjalankan usaha peringkat kebangsaan untuk membantu kanak-kanak yatim piatu akibat COVID-19.

Justeru, setiap negara digesa menyelaras inisiatif penjagaan untuk kanak-kanak dan mencegah kematian penjaga dengan mempercepatkan vaksin, membendung penularan dan mempercepatkan rawatan.

Kajian sama turut mengenal pasti bahawa peratusan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu atau kehilangan penjaga berdasarkan benua menunjukkan Asia Tenggara merekodkan kadar tertinggi.

Sekitar 40.6 peratus kanak-kanak Asia Tenggara menjadi mangsa diikuti Benua Afrika (24.3 peratus), Mediterranean Timur (14.6 peratus), Amerika (14 peratus), Eropah (4.7 peratus) dan Pasifik Barat (1.8 peratus) setakat 1 Mei lalu.

Kertas penyelidikan itu juga melaporkan India sebagai negara terjejas paling teruk setakat 1 Mei lalu dengan 3.9 juta kanak-kanak menjadi yatim piatu akibat COVID-19, Indonesia (660,000), Mesir (450,000), Nigeria (430,000) dan Pakistan (410,000).

Antara wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang paling terjejas pula termasuk Bangladesh, India, Indonesia, Myanmar dan Nepal, kata penyelidik.

Di Afrika pula, negara yang mencatatkan statistik tertinggi termasuk Republik Demokratik Congo, Ethiopia, Kenya, Nigeria dan Afrika Selatan. - AGENSI

Berita Harian X