Khamis, 1 September 2022 | 6:41pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

AS lulus kemas kini dos penggalak vaksin COVID-19

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan kemas kini pertama terhadap vaksin COVID-19 membabitkan dos penggalak yang menyasarkan strain Omicron paling lazim kini, dengan pemberian suntikan itu dijangka bermula tidak lama lagi.

Langkah diambil Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) itu meliputi pengubahsuaian 'resipi' suntikan dihasilkan oleh Pfizer serta Moderna yang sudah membantu menyelamatkan jutaan nyawa daripada ancaman virus berkenaan.

Pemberian dos penggalak yang diubah suai itu diharapkan dapat membendung lonjakan penularan wabak terbabit pada musim sejuk, sekali gus membantu mengekang jangkitan subvarian BA.5 Omicron yang terus merebak dengan meluas.

"Dos penggalak yang dikemas kini itu memberi kita peluang untuk melangkah lebih ke hadapan daripada gelombang COVID-19 yang seterusnya," kata Pesuruhjaya FDA, Dr Robert Califf.

Buat masa ini, vaksin COVID-19 sedia ada menyasarkan strain coronavirus yang asal, meskipun muncul pelbagai mutan yang amat berbeza.

Dos penggalak baharu itu membabitkan suntikan gabungan atau 'bivalen', dengan separuh daripadanya mengandungi 'resipi' vaksin asal dan separuh lagi perlindungan menghadapi versi Omicron terbaharu, iaitu BA.4 dan BA.5 yang dianggap mempunyai kebolehjangkitan paling tinggi ketika ini.

Gabungan itu bertujuan mempertingkatkan perlindungan silang menghadapi pelbagai varian.

"Ia benar-benar memberikan peluang paling luas untuk perlindungan," kata ketua vaksin Pfizer, Annaliesa Anderson kepada told The Associated Press.

Suntikan dos penggalak dikemas kini itu hanya untuk mereka yang sudah menerima vaksinasi utama menggunakan vaksin asal.

Dos dihasilkan Pfizer dengan rakan kerjasamanya, BioNTech, adalah untuk mereka yang berusia 12 tahun dan ke atas, manakala suntikan dikemas kini oleh Moderna pula bagi golongan dewasa - jika sudah mencapai tempoh sekurang-kurang dua bulan menerima vaksinasi utama atau dos penggalak. Dos berkenaan bukan untuk vaksinasi awal.

Namun, terdapat satu lagi langkah sebelum kempen dos penggalak musim luruh dimulakan: Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) mesti mencadangkan siapa yang harus menerima suntikan tambahan itu.

Panel penasihat CDC dijadual membincangkan bukti berkaitan, hari ini - termasuk sama ada individu berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 perlu diberikan keutamaan. - AP

Berita Harian X