Isnin, 15 Ogos 2022 | 9:49pm
Migran yang terselamat dibantu sebaik tiba di pelabuhan di Puerto del Rosario di Kepulauan Canary. - EPA
Migran yang terselamat dibantu sebaik tiba di pelabuhan di Puerto del Rosario di Kepulauan Canary. - EPA

3 mayat ditemukan dalam bot, 45 migran diselamatkan

MADRID: Pasukan penyelamat Sepanyol hari ini menemukan 48 pendatang asing maut termasuk tiga daripadanya maut di atas bot berhampiran pantai Fuerteventura di Kepulauan Canary.

Seorang jurucakap penguat kuasa pantai berkata, penyelamat dari Salvamento Maritimo tiba selepas tengah malam apabila mengesan sebuah bot yang mengalami masalah di luar pulau itu .

Beliau berkata, kru kemudian menemui 45 mangsa terselamat membabitkan 42 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak serta tiga mayat.

"Semua yang diselamatkan adalah warga Maghribi, kecuali seorang lelaki Afrika sub-Sahara," katanya kepada AFP.

Perkhidmatan kecemasan 112 pula berkata, lima daripada mereka berada dalam keadaan teruk dengan enam lagi dibawa ke hospital.

Angka kementerian dalam negeri pada 31 Julai lalu menunjukkan, dalam tujuh bulan pertama tahun ini, seramai 9,589 pendatang terselamat dalam perjalanan laut yang sangat berbahaya dari pantai Afrika ke pulau-pulau Sepanyol di Atlantik, berbanding 7,531 orang pada tahun sebelumnya,

Dalam tempoh sama, ketibaan di Kepulauan Balearic, Sepanyol pula turun kepada 5,284 berbanding 7,292 pada tahun sebelumnya.

Penyelamatan hari ini dilakukan selepas keadaan sibuk di Salvamento Maritimo yang berjaya menyelamatkan hampir 600 orang ke tempat selamat di perairan kepulauan Atlantik.

Ketibaan migran di kepulauan Atlantik meningkat sejak akhir 2019 selepas peningkatan rondaan di sepanjang pantai selatan Eropah bagi mengurangkan lintasan Mediterranean.

Laluan dari pantai Maghribi paling singkat iaitu sekitar 100 kilometer (60 batu), tetapi pendatang selalunya datang dari jarak jauh iaitu dari Mauritania yang lebih daripada 1,000 kilometer.

Laluan Atlantik terkenal berbahaya kerana arus yang deras, tetapi pendatang sering belayar dengan bot yang penuh sesak yang sangat tidak selamat. - AFP

Berita Harian X