Selasa, 2 Ogos 2022 | 9:34am
Gambar fail menunjukkan sistem roket canggih mobiliti tinggi atau HIMARS yang termasuk dalam pakej bantuan ketenteraan terbaru Amerika Syarikat (AS) kepada Ukraine. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sistem roket canggih mobiliti tinggi atau HIMARS yang termasuk dalam pakej bantuan ketenteraan terbaru Amerika Syarikat (AS) kepada Ukraine. - Foto AFP

AS umum pakej kewangan, senjata kepada Ukraine

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan dana baharu peruntukan senjata bagi kegunaan tentera Ukraine menentang Russia.

Ia termasuk peluru untuk pelancar roket dan senjata artileri yang dianggap penting.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby, pakej kewangan baharu berjumlah AS$550 juta (RM2.4 bilion) itu termasuk bekalan lebih banyak peluru untuk sistem roket canggih mobiliti tinggi atau HIMARS serta peluru untuk artileri.

Bantuan itu termasuk 75,000 butir peluru artileri 155 milimeter (mm), menurut kenyataan dari Pentagon.

"Bagi memenuhi keperluan di medan perang yang berkembang, AS akan terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsinya untuk menyediakan Ukraine dengan keupayaan utama," menurut kenyataan itu.

Dengan pakej baharu itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan bantuan ketenteraan yang diperuntukkan kepada Ukraine sejak Joe Biden bergelar Presiden AS melebihi AS$8.8 bilion (RM39.1 bilion), menurut Pentagon.

Bantuan senjata sebelum ini dari Washington kepada Kyiv termasuk radar artileri, peluru anti kereta kebal Javelin, helikopter buatan Soviet, pelindung dan kenderaan ringan berperisai.

Kirby turut memuji penghantaran pertama bijiran Ukraine yang berlepas dari pelabuhan Odessa semalam.

Ini adalah kali pertama sejak perang meletus dan sebahagian daripada perjanjian penting yang dikelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Turkiye untuk menarik balik sekatan tentera laut Moscow di Laut Hitam.

"Kami sememangnya mengalu-alukan langkah penting ini dan berharap untuk melihat lebih banyak kapal meninggalkan pelabuhan dalam beberapa hari akan datang.

"Diharap keperluan pasaran dunia dapat dipenuhi dengan membawa produk pertanian seperti bijirin, gandum, minyak bunga matahari dan jagung," kata Kirby kepada pemberita.

Penghantaran bijirin diberhentikan selama lima bulan dari Ukraine yang dilanda perang. Negara itu adalah antara pengeksport bijiran terbesar di dunia.

Kemelut di Ukraine menyebabkan kenaikan harga makanan sehingga memburukkan lagi keadaan di negara termiskin di serata dunia terutama di benua Afrika yang mengharapkan bantuan program makanan PBB.

Tentera Russia yang menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan jutaan penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka selain menimbulkan ketakutan berlaku bencana nuklear. - AFP

Berita Harian X