Sabtu, 23 Julai 2022 | 9:46am
Jurucakap Rumah Putih, John Kirby. - Foto AGENSI
Jurucakap Rumah Putih, John Kirby. - Foto AGENSI

AS lulus bantuan AS$270 juta bantuan ketenteraan kepada Ukraine

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan bantuan ketenteraan sebanyak AS$270 juta (RM1.2 bilion) kepada Ukraine termasuk empat Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (Himars) baharu.

Jurucakap Rumah Putih, John Kirby, berkata Russia melancarkan serangan maut terhadap pusat beli belah, bangunan kediaman, membunuh orang awam di Ukraine.

"Dalam berdepan kekejaman ini, Presiden (Joe Biden) amat jelas bahawa kami akan terus menyokong kerajaan Ukraine dan rakyatnya selama yang diperlukan," katanya.

Bantuan baharu itu sekali gus menjadikan 20 Himars dihantar ke Ukraine.

Kyiv menyifatkan Himars yang boleh menyasarkan serangan dalam lingkungan 80 kilometer sebagai perubahan dalam menentang Russia.

Pentagon pula yang memperincikan bantuan itu memaklumkan, Ukraine bakal menerima sejumlah 580 dron mudah alih dikenali Phoenix Ghosts, yang mampu melancarkan serangan ke atas sasarannya.

Bantuan itu termasuk 36,000 peluru dan empat kenderaan perisai yang boleh berfungsi sebagai pusat operasi di medan perang.

Lebih separuh bantuan yang disalurkan adalah daripada pakej bernilai AS$40 bilion (RM178.1 bilion) diluluskan kongres kepada Ukraine pada Mei lalu.

Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov, awal minggu ini menyuarakan harapan supaya AS dapat membekalkan sebanyak 100 unit Himars supaya mereka dapat mengubah peperangan dalam melawan pencerobohan Russia.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan Pertahanan AS, menafikan dakwaan kononnya Russia berjaya memusnahkan empat unit Himars.

Sebaliknya, pegawai terbabit berkata, Russia cuba menyesuaikan diri dengan realiti perang saraf dalam menentang Himars, termasuk menggunakan teknik penyamaran.

Pegawai itu turut berkata, Himars kini menghantui Russia di Ukraine.

Sementara itu, penasihat keselamatan kepada Presiden AS, Jake Sullivan, berkata Biden mengehadkan penghantaran roket jarak jauh kerana bimbang Ukraine melancarkan serangan ke dalam wilayah Russia, sekali gus mendorong AS ke dalam kancah peperangan.

"Biden percaya kunci utama AS adalah melakukan apa yang perlu untuk menyokong dan mempertahankan Ukraine dan memastikan kita tidak terjerumus ke dalam perang dunia ketiga," katanya. - AFP

Berita Harian X