Sabtu, 2 Julai 2022 | 8:20am
Gambar yang dirakamkan pada 6 Mac 2022 menunjukkan anggota tentera AS bersama M142 Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) ketika Pameran Pertahanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi. - Foto AFP
Gambar yang dirakamkan pada 6 Mac 2022 menunjukkan anggota tentera AS bersama M142 Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) ketika Pameran Pertahanan Dunia di Riyadh, Arab Saudi. - Foto AFP

AS umum lebih banyak peluru berpandu, peluru untuk Ukraine

WASHINGTON: Pentagon mengumumkan peruntukan sebanyak AS$820 juta (RM3.6 bilion) untuk senjata dan peluru tambahan kepada Ukraine yang ketika ini berdepan serangan Russia di sepanjang timur dan selatan negara itu.

Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) adalah pelancar roket berbilang keupayaan yang boleh menyerang dengan ketepatan tinggi ke atas sasaran jarak jauh.

Pakej ke-14 senjata untuk tentera Ukraine itu termasuk dua sistem pertahanan udara, lebih banyak peluru untuk HIMARS yang mula dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) pada Jun, sehingga 150,000 peluru artileri 155mm, dan empat radar kontra artileri tambahan.

Sistem pertahanan udara yang dikenali sebagai NASAMS ialah sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak pendek dan sederhana yang dibangunkan oleh Raytheon dan Kongsberg Defense & Aerospace Norway.

Pelancar kendalian jauh itu adalah untuk membantu tentera Ukraine bertahan daripada pesawat pandu dan dron serta peluru berpandu jelajah.

Setiausaha Akhbar Jabatan Pertahanan, Todd Breasseale, berkata AS terus bekerjasama dengan sekutu dan rakan kongsinya untuk menyediakan Ukraine dengan keupayaan bagi memenuhi keperluan medan perangnya.

"Pentagon turut mengiktiraf kerjasama Norway untuk membolehkan peruntukan bersejarah oleh AS terhadap sistem pertahanan udara moden untuk membantu Ukraine bertahan daripada serangan udara Russia," katanya.

Pakej senjata baharu yang menggunakan simpanan tentera AS sendiri, memperuntukkan AS$6.9 bilion (RM30.4 bilion) jumlah keseluruhan yang disediakan oleh Washington kepada Ukraine sejak Russia menyerang negara itu 24 Februari lalu. - AFP

Berita Harian X